Friday, 3 July 2020

Jordan: The First Stop

"Nanti lepas results SPM, mama plan nak bawak semua pergi Palestine."

"Palestine? Serius ke ma.. Bukan tak selamat ke kat sana. Takut la kalau apa-apa jadi."

Setiap orang yang mendengar hasrat kami sekeluarga untuk ke bumi Palestin pasti tidak terlepas memberi reaksi yang sama seperti saya ketika pertama kali mendengar perancangan mama.

Setelah mengikuti taklimat yang disediakan oleh Al Amin Travel, gambaran keadaan sebenar di Palestin tersingkap sedikit demi sedikit. Perasaan takut yang mulanya membelenggu diri, kini berlalu pergi diganti dengan keturujaan untuk berpijak di bumi penuh barakah.

Jordan

Setelah bermalaman di Abu Dhabi International Airport, penerbangan kami diteruskan ke Queen Alia International Airport, Jordan. Persinggahan kami di Jordan adalah untuk membolehkan kami memasuki Palestin  melalui Sempadan Jordan-Palestin. Sebelum merentas sempadan, kami berpeluang menikmati makanan tengah hari di Abu Zagheh dan melawat beberapa tempat bersejarah di Amman, Jordan. Paling menarik sudah tentu ketika melawat The Cave of Seven Sleepers (Ashabul Kahf). Walaupun terdapat beberapa gua lain yang dipercayai tempat Ashabul Kahf, namun gua di Amman adalah paling mirip dengan gambaran hadis.

[gambar]

Sebelum tiba di sempadan, kami diingatkan sekali lagi untuk tidak bercakap kasar dan menarik muka ketika berhadapan dengan pegawai-pegawai Rejim Zionis. Beberapa kisah mengenai rombongan sebelum ini telah diberitahu kepada kami sebagai gambaran awal mengenai situasi sebenar yang bakal kami hadapi. Bukan itu sahaja, kami dimaklumkan berkali-kali mengenai jawapan yang perlu diberikan sekiranya pegawai tersebut menanyakan sebab kedatangan kami ke Palestin. Ya, tujuan asal kami semua adalah untuk melawat Masjid Al-Aqsa, namun apabila ditanya kami perlu menjawab "to visit Jerusalem". Beberapa aspek lain turut diingatkan bagi tujuan kelancaran di balai imigresen.

Muka hadapan Passport Malaysia : " Passport ini sah digunakan di semua negara kecuali Israel"

Perkara ini menimbulkan tanda tanya sebilangan pihak, " jadi macam mana nak masuk kalau tanpa passport ?" Kami menggunakan visa untuk aktiviti keluar masuk Israel.

Setibanya kami di Balai Imigresen Israel, kami diarahkan untuk beratur bagi urusan body & luggage scanning serta melalui proses pendaftaran kemasukan. Di stesen pertama, passport kami dilekatkan dengan sticker dan pegawai mula menanda sesuatu pada sticker kami setelah melakukan imbasan muka seorang demi seorang. Perasaan gerun mula menebal dalam diri setelah saya dapati tanda pada sticker saya berbeza daripada ahli keluarga yang lain. Niat untuk bertenang semakin punah setelah saya menyaksikan beberapa insiden ketidakadilan berlaku. Antaranya, pelancong Eropah di balai imigresen ketika itu dibenarkan untuk memotong barisan kami ketika proses pemeriksaan dilakukan serta tiada penahanan passport yang dijalankan ke atas mereka.

 Lain pula dengan kami. Passport beberapa orang daripada rombongan kami ditahan termasuk saya. Paling mengejutkan, ketua rombongan iaitu Ustaz Syafiq nyaris dibatalkan visa walhal visa kami semua telah diluluskan sebulan sebelum berangkat.

Passport mereka yang ditahan, dipanggil oleh pegawai serta merta. Kami diarahkan untuk memberi hand luggage bagi tujuan pemeriksaan yang lebih ketat. Selain itu, kami diminta untuk mengeluarkan sebarang objek yang terdapat di poket pakaian kami. Setelah diyakini tiada perkara yang mencurigakan, passport kami dikembalikan. Urusan yang sepatutnya selesai dalam masa 30 minit menjadi 2 jam setengah dek kerana pegawai-pegawai imigresen yang menahan kami tanpa asbab serta melambatkan proses kami.

Persoalannya, mengapa mereka berperilaku sedemikian kepada pelancong muslim?

Jawapannya mereka ingin melengahkan umat Islam menjejakkan kaki ke Al-Aqsa. Perkara ini jelas dirasai oleh satu rombongan lepas yang tiba pada waktu pagi dan dijangka berpeluang mendirikan solat jumaat di Masjid Al-Aqsa. Namun begitu, kesulitan yang dihadapi semasa urusan di balai imigresen membantutkan niat mereka disebabkan mereka terkandas di balai tersebut sehingga 3 jam dan terlepas waktu solat jumaat. 

Perjalanan masuk ke Palestin bukanlah mudah, tetapi kemanisan pertama kali menjejakkan kaki ke sana dirasai kami semua membuatkan kami berasa lebih bersyukur dengan nikmat yang diberikanNya.


My journal!


No comments:

Post a Comment

Leave your thoughts!